Kod Etika Pengiklanan

Pengenalan

Kod Etika Pengiklanan disediakan bagi membantu pengusaha Institusi Pendidikan Swasta (IPS) menyediakan iklan mengikut peruntukan-peruntukan berkaitan dengan pengiklanan di bawah seksyen 86 dan 130 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Peraturan-Peraturan yang dibuat di bawahnya.

Objektif

  • untuk memastikan iklan yang dibuat oleh IPS menepati keperluan, syarat dan kod etika pengiklanan seperti yang ditetapkan oleh Ketua Pendaftar; 
  • memberi kesedaran dan rasa tanggungjawab kepada IPS tentang kepentingan penyampaian maklumat yang jelas, tepat dan benar berhubung perkhidmatan pendidikan kepada orang awam;
  • memberi panduan dan maklumat kepada orang awam untuk memilih perkhidmatan pendidikan yang ditawarkan oleh IPS.

Pihak Berkuasa (Authority)

  • Ketua Pendaftar boleh dari semasa ke semasa mengubah, membatal, menukar atau menambah apa-apa syarat yang terkandung di dalam Kod Etika Pengiklanan untuk kepentingan awam tanpa sebarang notis.
  • Jika terdapat apa-apa keraguan (ambiguity) yang boleh menimbulkan kekeliruan di dalam Kod Etika Pengiklanan ini, penjelasan dan keputusan Ketua Pendaftar adalah muktamad.
  • Ketua Pendaftar berhak mengarahkan IPS menghentikan sesuatu iklan sekiranya terdapat pernyataan yang palsu dan mengelirukan, atau sebab-sebab lain yang munasabah.
  • Ketua Pendaftar berhak mengarahkan IPS untuk mengubah, menambah, menukar, membatal atau selainnya meminda iklan yang telah disiarkan sesuai dengan peruntukan di dalam Akta 550 dan Peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya. 

Pengisian Iklan

  • Iklan adalah sebarang pemberitahuan atau maklumat mengenai IPS seperti notis, brosur, risalah, papan iklan atau lain-lain yang dibuat secara lisan atau menerusi apa-apa media cetak dan elektronik atau apa-apa cara lain.
  • Iklan hendaklah mengandungi maklumat yang tepat, benar, jelas, terkini dan boleh dibuktikan. Iklan juga tidak boleh mengandungi pernyataan yang mengelirukan atau tidak boleh dibuktikan.

Maklumat IPS

  • Butiran mengenai IPS yang terkandung dalam iklan hendaklah seperti berikut;
    • Nama dan alamat hendaklah seperti mana yang telah diluluskan oleh Ketua Pendaftar, serta nombor telefon dan faks;
    • Nombor Perakuan Pendaftaran IPS;
    • Nama kursus pengajian yang diluluskan;
    • Nama penuh IPS yang diiklankan hendaklah mempunyai font yang sama (mudah dibaca);
    • Nama IPS hendaklah diberi keutamaan (prominent) dalam iklan daripada nama rakan kerjasama.
    • IPS tidak boleh memberi apa-apa pernyataan yang palsu, mengaburi mata, menyinggung perasaan atau mengelirukan pengguna.
    • Pengiklanan yang dibuat tidak boleh menyalahgunakan kepercayaan atau mengeksploitasikan pengetahuan dan pengalaman pengguna. Contohnya, ”Kami pasti anda mendapat A dalam semua subjek”

Penggunaan logo

  • Jika iklan mengandungi logo, maka logo IPS hendaklah digunakan. Saiz logo institusi rakan kerjasama dalam atau luar negeri atau logo agensi lain hendaklah lebih kecil daripada logo IPS.
  • Logo institusi rakan kerjasama dan agensi lain boleh digunakan setelah mendapat kebenaran dan kelulusan Ketua Pendaftar.

Pengiklanan Kursus Pengajian

  • Nama kursus pengajian hendaklah seperti nama yang diluluskan oleh Ketua Pendaftar.
  • Syarikat yang bertindak sebagai agen kepada institusi pendidikan luar negeri tidak dibenarkan mengiklan bagi pihak institusi berkenaan di Malaysia.
  • Syarikat pemilik tidak digalakkan untuk mengiklankan kursus-kursus pengajian yang ditawarkan oleh institusi induk dan kumpulan institusi di bawah miliknya dalam satu iklan. Sekiranya syarikat pemilik ingin mengiklankan kursus-kursus yang ditawarkan bagi kumpulan di bawah miliknya, perkara berikut hendaklah dipatuhi;
  • Nama kursus pengajian hendaklah dinyatakan bersama IPS yang mendapat kelulusan; dan Nombor Perakuan Pendaftaran hendaklah dinyatakan bersama IPS yang mendapat kelulusan.

Pengakuan (claims)

  • Sebarang pengakuan terhadap mana-mana pernyataan dan perbandingan berkaitan maklumat IPS yang diiklankan hendaklah boleh dibuktikan;
  • Rujukan tidak boleh dibuat terhadap mana-mana pernyataan dan statistik melainkan kelulusan telah diperolehi daripada badan profesional atau pihak berkuasa berkenaan; 
  • Pernyataan tentang IPS yang tidak boleh ditentusahkan atau tidak boleh dibuktikan hendaklah dielakkan;
  • IPS tidak boleh menggunakan perkataan-perkataan yang grandiloquent (kata-kata hebat) atau superlative (terunggul) bagi mengelakkan kekeliruan kepada orang awam. Contohnya, ’terbaik’ (the best), ’tersohor’ (reknown), ’Pengiktirafan Antarabangsa’ (International Recognition)’, ’terunggul’ (most popular), dan ’dijamin kejayaan’.
  • Pengiklanan tidak boleh memberi perakuan bahawa IPS boleh menjamin kejayaan;
  • IPS tidak boleh secara langsung atau tidak langsung memburuk-burukkan (discredit), memperkecilkan atau mengkritik mana-mana institusi lain dalam iklan yang dikeluarkan;
  • IPS tidak boleh membuat pengakuan dan perbandingan dengan IPS lain yang boleh mengelirukan pengguna. Antaranya termasuk aspek yang berikut;
    • Yuran pengajian;
    • Tenaga pengajar;
    • Prestasi pelajar;
    • Institusi rakan kerjasama
    • Kemudahan infrastruktur dan lain-lain.

Tokoh Kenamaan (Profesional)

IPS tidak boleh menggunakan tokoh-tokoh kenamaan/profesional untuk menyokong pengakuan pengiklanan atau pengesahan (endorsement) bagi mengelakkan kekeliruan pengguna.

Nilai dan Budaya

  • Pengiklanan tidak boleh mengandungi pernyataan atau persembahan visual yang bertentangan dengan nilai dan budaya masyarakat Malaysia. IPS juga tidak boleh
  • membuat pernyataan yang mendiskriminasikan mana-mana kaum, agama dan jantina.

Penggunaan bahasa dalam iklan

  • Iklan hendaklah dalam Bahasa Kebangsaan, sama ada secara sendiri atau bersama dengan mana-mana bahasa lain.
    • Jika bahasa kebangsaan digunakan bersama bahasa lain dalam pengiklanan, perkataan-perkataan dalam bahasa kebangsaan itu hendaklah lebih besar saiznya dan ditonjolkan dari segi penekanan visual dan kedudukan berbanding dengan perkataan-perkataan dalam bahasa lain.
    • Iklan yang menggunakan bahasa lain mestilah membawa maksud yang sama seperti dalam bahasa kebangsaan.